Khamis, 31 Disember 2020

Ustaz Sweet

ADA sesuatu tentang dia. Sesuatu tentang cara dia memandang ke arah aku. Tapi kalau difikir kembali, wajah perempuan tu macam familiarlah.

Kelihatan gadis yang duduk di bangku berhadapan denganku itu, membetulkan kaca mata tebalnya. Aku musykil. Jiwaku ditarik dek magnet ingin tahu akan siapakah gerangan dia. Argh!

Buku puisi kuselak rambang demi menghapus fikiranku yang bukan-bukan. Padahal jujur kukatakan, yang aku sudah tertarik dengannya. Ah, sudah!

Beberapa ketika aku hanyut dalam pembacaan, kedengaran permukaan mejaku diketuk.

Knock! Knock!

Aku mengangkat wajah dan satu ayat terluncur dari bibirku, "Subahanallah!"

Sekaligus gadis yang bertudung labuh berwarna ungu itu, tersipu malu. Dia tertunduk tanda menjaga pandangan.

"Maaf, ustaz jika Ana mengganggu..."

Keningku terangkat automatik, "Oh, tidak mengapa. Hmm... ada apa yang boleh saya bantu?" soalku padanya.

Dia tampak resah dan serba salah. Lantas kucuba menyingkap kegusaran hatinya dari riak wajah.

"Kamu bingung pasal kelas tadi?"

Dia mengangguk perlahan tanda mengakui. Aku dah agak asbabnya. Wajar sahaja dia menjadi kebingungan jika dirinya adalah siswi baru.

"Ana juga ingin bertanya lanjut, tetapi Ana malu," ujar si gadis itu lagi.

Sebentar! Nama dia memang Ana atau itu kata ganti nama aku sebagai ana? Entah mengapa biulku muncul pula di kala ini.

"Oh... err... nama kamu, Ana ke?"

Gadis itu mengangguk lagi. Sungguh ayu kulihat dia di waktu itu. Mujur sekali kedudukan kami masih di tempat yang terang dan dilihat oleh warga penuntut yang lain. Jika tidak, sudah pasti bau-bau fitnah membasahi diri kami.

Aku berusaha menenangkan diri. Namun belum sempat aku ingin berbicara, ada seseorang menyapa kami.

"Assalamualaikum, Nazir." Kelibat Dzham muncul di situ menjadi orang ketiga di antara kami.

Hatiku kembali tenteram.

"Wa'alaikumsalam," jawab kami serentak.

Dzham duduk di hadapan meja belajarku tadi. Ana pula menjaga jarak dengan duduk selang sebangku daripada kami. Aku menjadi hairan akan situasi itu.

"Ana dah tanya kawan abang ni, ke?" soal Dzham kepada Ana.

Gadis itu mengangguk, "Dah. Tapi nampaknya... Ana kena cari teman perempuanlah. Sebab takut timbulkan fitnah, nantinya."

"Ha, betul juga. Hmm... nanti, abang kenalkan Ana dengan kawan abang Syafini tu. Mungkin dia boleh jadi kawan Ana, lepas ni."

Perbualan Dzham dan gadis itu ingin kucelah. Tapi khuatir merubah suasana. Jadi aku cuma berdiam. Walaupun sanubariku meronta ingin mengetahui apakah hubungan kedua mereka.

"Aku hampir lupa. Nazir, kenalkan ini adik sepupu aku. Nama dia, Nur Ana Hawani," ucap classmateku yang seorang itu.

Ah, Dzham. Dia seakan dapat membaca akal fikiranku. Dan aku pula segera mengoyak senyum.

Kemudian, perbualan kami lebih kepada soal pembelajaran.



TIGA bulan berlalu ibarat menggulung hamparan tikar. Amat pantas sekali masa berputar. Hubunganku dengan Ana semakin akrab tapi berbatas. Tidak kusangka perkenalan kami di perpustakaan tempoh hari, pemula kepada silaturahim yang hakiki.

"Ana,"

"Ya?"

"Kita selalu panggil ini dengan nama apa?" soalku kepada Ana sambil memegang sebatang pen yang selalu digunakan di papan putih.

Gadis itu menjawab dengan penuh keyakinan, "Marker penlah."

Aku menggelang pantas, "Bukan."

Ana berkerut dahi, "Eh? Betullah."

"Tak. Ini marker..."

"Bukan sama je ke?"

"Tak. Marker is makanya kusayang kamu..."

Pipi Ana berona merah. Haih! Tak sangka gaya playboy aku dah kembali. Tapi kali ini, aku yakin bahawa ia bukanlah sekadar main-main.

Ana mengemaskan peralatan tulisnya dengan segera. Aku jadi kalut sudahnya.

"Ana, janganlah marah. Saya tak sengaja," ucapku untuk memujuk.

"Ana tak suka ustaz mainkan perasaan Ana!" Kaca mata tebal miliknya dibetulkan seketika, "Ana di sini pun cuma untuk berbagi ilmu bukan belajar bermain kata dengan lelaki yang bukan mahram Ana. Maafkan Ana. Ana pergi dulu," sambung Ana lagi seraya melangkah pergi.

Tidak lama kemudian, Ana bertembung dengan Dzham.

"Abang! Abang cakap dengan kawan abang tu supaya jaga adab sikit. Jangan tahu nak mainkan hati perempuan je," ujar Ana sebelum berlalu menyebabkan Dzham terpinga-pinga. Dia baru sahaja keluar dari tandas.

...

"Apa dah berlaku tadi, Nazir? Kenapa Ana marah sampai macam tu sekali?"

"Hmm... aku cuma nak bergurau dengan dia. Tapi tak sangka pula dia mengamuk. Aduh!"

"Kamu main pickupline lagi ke?"

"Ha'ah, Dzham. Tapi..."

"Tapi apa?"

"Err... tapi kalau diikutkan, sebenarnya aku tak main-main..."

"Ah, sudah! Kau cakap apa ni, Nazir? Kau jangan nak macam-macam. Ana tu, adik sepupu aku."

"Ya, aku tahu. Dan aku rasa, aku nak serius dengan dialah, Dzham. Em... apa pendapat kau?"

"Huhu... aku tak kisah. Malah, aku lagi bersyukur. Tak adalah timbul fitnah nantinya."

"Ya, Dzham. Wei! Kau teman aku jumpa abi dan ummi Ana, nanti. Aku nak lamar dia secepat mungkin."

"Alhamdulillah! Ha! InsyaAllah..."



SEJAK menjadi tunangan orang ni, aku selalu perasan akan perubahan Ana kepadaku. Dia seakan-akan nak mengelak daripada aku. Atau dia menerima lamaranku kerana terpaksa?

"Ha! Termenungkan apa tu? Fikir pasal Ana ke?" sapa Dzham dari arah belakang.

Tempat letak motosikal itu sepi kerana para pelajar sudah berlalu pulang. Cuma tinggal beberapa siswa sahaja yang kelihatan.

"Hmm... siapa lagi Dzham kalau bukan Ana?"

"Kau janganlah ikutkan sangat prasangka buruk kau tu. Aku tak nak hubungan korang hancur nanti. Kamu kena ingat, bertunang ni bukanlah tiket kamu nak buat sesuka hati. Ia cuma masa untuk kamu kenal-kenal je. Hurm... jangan risaukan pasal Ana. Yakinlah dengan Allah yang Ana sekarang ni, sedang berusaha untuk tidak menjerumuskan kamu berdua ke lembah maksiat," pesan Dzham kepadaku.

Aku mengukir senyum, beristigfar di dalam hati. Kan ada baiknya aku berfikiran yang positif. Justeru itu, aku perbanyakkan bersyukur sebab Ana reti menjaga diri, pergaulan dan perasaannya.

Ah! Beruntung sekali aku jika menikah dengannya.

...

"Ada apa dengan bulan?"

"Jangan nak merepek, boleh tak? Ana banyak kerja ni. Kenapa call?"

"Hailah, tunang. Garangnya dikau dengan bakal suamimu ini..."

"Eleh! Baru tunang jelah. Belum jadi suami lagi. Jadi Jangan harap Ana nak berlembut dengan ustaz."

"Hurm... masih nak panggil ustaz juga ke? Kita dah nak nikah dah pun. Takkan tak nak practice panggil Biy, Ayang atau abang ke?"

"Ustaz jangan mengada! Kita baru bertunanglah. Jangan minta yang bukan-bukan!"

"Haha... tak minta banyak. Em... cuma nak minta Ana jaga hati saya, selepas ni. Genggam erat ia supaya tak diusik oleh orang lain."

"Ana tak boleh janji. Ana takut melayan perasaan. Kalau kita memang berjodoh, InsyaAllah Ana akan cuba sedaya-upaya untuk menjaganya. Kalau masa sekarang, Ana tak jamin apa-apa. Maafkan Ana."

"Ana tahu apa beza lukisan di atas pasir dengan Ana?"

"Entah!"

"Bezanya... Ana boleh kekal di hati saya. Sedangkan lukisan pasir itu, tidak. Hehe..."

"Hmm... yelah. Ada apa lagi? Ana sibuklah..."

"Amboi, Ana. Nampak sangat dia tak sabar nak jadi isteri saya. Mesti sibuk siapkan hantaran kahwin kita, kan? Hahaha..."

"Eh, bukanlah. Ana ada hal. Assalamualaikum."

Tit! Talian dimatikan oleh orang di sana.

"Wa'alaikumsalam, bakal makmumku. Fi hifzillah," ucapku sendiri.

Aku tersenyum. Dengar Ana berkata kasar pun, terbayar juga rindu aku ni. 








"ABANG ada pantun untuk sayang," kataku pada isteri yang baru beberapa jam kunikahi.

"Apa dia, abang?" soal Ana kembali.

"Gadis manis bertudung ungu, 
Pakaiannya pula serba biru;
Kalau dulu i miss you,
Sekarang pula i love you."

Ana tertunduk tersipu malu. Kami berdiri di balkoni sambil menikmati taburan berlian di hamparan langit kelam itu.

"Abang nak tahu tak apa yang Ana gelarkan abang?"

"Eh! Mestilah nak. Apa dia, sayang?"

"Hihi. Ana gelarkan abang, Ustaz Sweetku." Ana menutup wajahnya. Malu.

Aku terhibur dengan telatah manjanya.

"Uhibbuki, sayangku Ana..."

"Uhibbuka, suamiku..."

Damai tenteram kurasa jiwaku tika ini. Uhibbukifillah.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jendela Sapa

  Tikar merah telah kubentang, Daku ucapkan selamat datang. Hulur salam tanda perkenalan, Senyum ramah buat semua; Semoga ukhuwah kita berke...