Khamis, 31 Disember 2020

Jendela Sapa

 


Tikar merah telah kubentang,

Daku ucapkan selamat datang.


Hulur salam tanda perkenalan,

Senyum ramah buat semua;

Semoga ukhuwah kita berkekalan,

Walau terpisah lain 'benua'.


Sekali imbas macam kenal,

Rupanya manis dalam bayangan;

Daku bukan orang terkenal,

Hanya manusia mencedok pengalaman.


L H.A.M

31 DISEMBER 2020






Nafas Kesumat (Thriller)

 RANTAI yang dililit pada tubuh mayat itu, diheretnya sehingga ke tingkat atas. Darah yang membasahi lantai dan setiap celah permukaan, dibiarkan tanpa rasa jijik. Setelah sampai ke tempat yang dituju, tombol pintu dibukanya seraya menapak masuk.

"Nafisah! Aku tak bersalah!" raung seorang wanita yang diikat dengan gulungan wayar.

Rontaan beberapa kali itu menyebabkan tangan dan kakinya melecet.

"Aku bawakan teman untuk kau, Maiya. Aku harap kau gembira. Hehehe..." ujar Nafisah tanpa mempedulikan kemahuan mangsanya.

"Nafisah, ini salah. Tak sepatutnya--"

"Kau diam, perempuan! Sebelum kau pulak yang aku bunuh!" potong Nafisah pantas. Dia geram akan rengekan anak keluarga angkatnya itu.

Jasad lelaki yang pecah kepala serta dilumuri cecair merah itu, diletakkannya di atas katil. Ia bersebelahan dengan mangsa seksaannya yang sedari tadi asyik membingitkan telinga.

Sebatang kayu golf dipegang di hadapan Maiya membuatkan Maiya menelan air liur.

"Cuba cakap! Mana kembar aku? Kenapa kau dan keluarga kau pisahkan kami?" soal Nafisah dengan nada yang lantang.

"Maafkan aku, Nafisah. Aku langsung tak tahu kenapa mak ayah aku buat macam tu. Tolonglah, Nafisah. Lepaskan aku."

Nafisah menggulingkan bebola matanya ke atas. Dia malas melayan lantas meninggalkan Maiya tanpa banyak kata. Dia ingin menemui seseorang demi sebuah penjelasan.

Sungguh! Tiada yang menyangka wajah comel gadis itu, terlalu banyak menyimpan kedukaan.






PRAK! Tendangan pada pintu rumah itu menyebabkan si empunya penghuni kecut perut.

"Na... Nafisah? Ap... apa kau nak buat ni?" tanya lelaki itu dengan gagap.

"Kata kat aku, di mana keluarga kau sorokkan Nayla?" Tanpa berbasa-basi, gadis itu menarik baju anak lelaki jirannya.

Dzham cuba berusaha untuk berbicara dengan tenang. Perwatakan gadis itu berubah mendadak. Dahulunya, Nafisah boleh dikatakan manja-manja nakal. Tetapi di hadapannya kini, adalah Nafisah yang baru.

"Aku tak tahu apa-apa pasal Nayla. Serius! Aku tak tipu kau!"

Lantas Nafisah menolak Dzham ke lantai. Kesemua bilik dan juga ruangan digeledahnya untuk mencari bukti.

"Kau ikut aku!" Gadis itu menarik lengan Dzham yang berlapik.

Kunci kereta dicapai dan mereka berdua bergerak ke garaj. Nafisah memaksa lelaki itu menghidupkan enjin kereta sebelum mereka bertolak ke suatu tempat.

Dalam masa 20 minit, akhirnya mereka tiba juga di sebuah gudang usang.

Sewaktu mereka mendekati kawasan itu, kedengaran jerit payah seorang gadis.

"Argh! Jangan, pak cik! Bukan salah Nayla. Tolonglah, pak cik. Nayla tak tahu..."

"Kau memang pembawa malang. Sama dengan kembar kau, si Nafisah tu. Ha. Memang patut pun dia mati di dalam hutan sana."

Perbualan itu membuatkan Nafisah menggenggam erat batang golf tadi. Kesumat meledak dan tanpa banyak kata, diterjahnya ruangan itu.

"Wuuu... kau masih hidup rupanya. Aku fikir kau dah mati dibaham harimau dalam hutan tu. Hahaha..." Pak Cik Tori mengejeknya lagi. Persis yang selama ini dia terima.

"Nafisah, tolong aku!" rayu Nayla dengan linangan air mata. Keadaan yang kusut-masai itu telah menggusarkan hati kembarnya.

'Nayla...' bisik Nafisah lagi.

Dia perlahan mara ke hadapan. Semakin dia menghampiri, semakin berani lelaki tua itu menghiris kulit Nayla dengan sebilah pisau.

Dzham menyelit masuk ke dalam gudang lalu mencari alternatif untuk menolong Nayla.

"Cukuplah pak cik dah bunuh adik pak cik sendiri. Jangan tambahkan lagi mangsa kegilaan pak cik tu! Dan sepatutnya, pak cik boleh terima kematian Mak Cik Ayuni adalah disebabkan ajal bukan gara-gara kami berdua!" Nafisah mula berkata-kata.

Walaupun kisah hidup dirinya dan Nayla umpama kisah Cinderella, tapi apa yang dilaluinya kini lebih tragis daripada itu.

Nafisah dan Nayla dijadikan keluarga angkat setelah mendapatkan persetujuan sebuah rumah anak-anak yatim. Tiga tahun pertama, ia hanya biasa. Namun, tragedi berdarah bermula di kala kematian isteri lelaki itu dengan penuh misteri.

Dan mereka berdua tidak menyangka bahawa pak cik angkatnya itu adalah seorang psiko.

"Pasal korang berdualah, bini aku mati! Dia stress jaga korang yang perangai entah apa-apa ni, tau tak?" ujar Pak Cik Tori lagi.

Dia cuba menangkap Nafisah. Tetapi gadis itu tangkas menerajang perutnya sebelum belakang tengkuk Pak Cik Tori dihambatnya menggunakan kayu golf tadi.

Darah keluar dari mulut.

"Kau sepatutnya tak patut buat kami macam ni!" Muka lelaki itu ditumbuknya, "Kau dah menganiaya anak yatim, kau tahu?" Lantas Nafisah memijak perut Pak Cik Tori yang telah terbaring di lantai gudang.

Dia amat benci ayah angkatnya itu. Sudah cukup lama dia memendam amarah. Kini, Nafisah ingin membalas segala keperitan dan kesengsaraan mereka dua beradik.

Dzham berdiri menghadap Nafisah dan Nayla yang baru dilepaskannya tadi. Kemudian, mereka bersama-sama melakukan sesuatu.

Tubuh Pak Cik Tori dipapah oleh Dzham. Manakala, Nayla dan Nafisah membuka sebuah pintu kecil untuk ke ruang bawah tanah dalam gudang tersebut.

Seusai mereka bertiga masuk ke sana, lelaki tadi diletakkan di dalam sebuah peti keranda. Ia diperbuat daripada tanah dan dilapisi dengan besi. Nayla segera menyalakan api dibawahnya apabila Nafisah selesai menuang minyak tanah.

Api semakin marak dan bahangnya semakin terasa. Sayup-sayup kedengaran raungan Pak Cik Tori di situ.

"Huwargh! Panas!"

Mereka bertiga tergelak bersama.

"Haha... padan muka kau, lelaki tak guna!" Nafisah sempat menyumpah.

Si kembar itu berpelukan seketika sebelum Dzham mencelah di antara mereka.

"Dahlah tu. Kita kena balik ke rumah korang semula. Maiya masih ada di sana dengan mayat Pak Cik Jun. Jadi, jangan buang masa lagi..." ujar Dzham seraya berlalu naik ke atas.

Mereka bertiga hanya membiarkan tubuh lelaki yang bernama Tori itu hangus dijilat api. Kerana itu adalah penyeksaan yang terbaik bagi mangsa mereka. 











MINYAK tanah disimbah di sekeliling rumah banglo dua tingkat itu. Nafisah pula memerhati keadaan sekitar. Khuatir aktiviti mereka diketahui oleh jiran-jiran.

Nayla keluar dari rumah itu dengan senyuman yang cukup menggambarkan bahawa dirinya gembira.

"Hurm. Aku dah simbah kat semua tempat. Korang dah boleh hapuskan bukti," kata Dzham sebelum menyuakan pemetik api kepada Nafisah.

Nayla tersenyum sambil mengangguk, "Nyalakanlah cepat," sambungnya lagi.

Dengan hati yang diselaputi dendam dan benci, pemetik api dibuka lalu dilontarkan ke arah banglo itu tadi. Api merayap mengikuti laluan simbahan minyak tanah.

Pada waktu itu, kisah lama muncul bergentayangan.

"Kau pergi basuh baju kotor tu, sekarang!" arah Mak Cik Ayuni kasar sambil menarik rambut Nafisah dengan kuat.

Maka terjeritlah anak angkatnya yang satu itu, "Aduh! Mak cik, sakit. Jangan buat Isah begini, mak cik," rayunya pula. Namun, wanita yang merangkap ibu angkatnya itu, langsung tidak mempedulikannya.

"Ha! Aku dah kata banyak kali. Rumah ni bukan rumah kau. Kau tu cuma menumpang je. Tak sedar diri lagi ke, Hah?"

"Sakit, mak cik. Ampunkanlah Isah, mak cik. Isah janji akan buat semua kerja dalam rumah ni."

Nayla yang baru pulang dari sekolah pula, menuju ke arah jeritan itu.

"Mak cik. Jangan buat Kak Isah macam ni. Lepaskan dia."

Mak Cik Ayuni menolak kedua anak yatim itu ke lantai secara serentak. Dia geram.

"Ha. Ngam sangatlah tu. Dua beradik duduk kat dapur ni. Korang ingat, eh! Rumah ni kena sentiasa bersih dan kemas. Korang kena masak, cuci baju macam yang selalu aku buat. Kalau korang tak buat, siaplah korang nanti. Huh!"

"Mak, Nayla dan Nafisah rosakkan beg sekolah Maiya..."

Mak Cik Ayuni mencerlung tajam, "Budak bertuah! Korang berdua memang nak kena dengan aku. Nah! Rasakan ni!"

Maiya tersenyum sinis melihat adik-adik angkatnya itu dipukul oleh ibu sendiri.

...

Nafisah memeluk lutut sambil menangis di penjuru bilik. Pakaian koyak di tubuhnya itu menjadi saksi akan tragedi durjana terhadap dirinya.

"Ingat, Nafisah. Bila aku nak, kau kena bagi!" pesan Pak Cik Tori.

"Jom kita pergi, Kak Isah."

'Padan muka! Akhirnya, dendamku terbalas...' Nafisah berpaling sambil tersenyum. 

Ustaz Sweet

ADA sesuatu tentang dia. Sesuatu tentang cara dia memandang ke arah aku. Tapi kalau difikir kembali, wajah perempuan tu macam familiarlah.

Kelihatan gadis yang duduk di bangku berhadapan denganku itu, membetulkan kaca mata tebalnya. Aku musykil. Jiwaku ditarik dek magnet ingin tahu akan siapakah gerangan dia. Argh!

Buku puisi kuselak rambang demi menghapus fikiranku yang bukan-bukan. Padahal jujur kukatakan, yang aku sudah tertarik dengannya. Ah, sudah!

Beberapa ketika aku hanyut dalam pembacaan, kedengaran permukaan mejaku diketuk.

Knock! Knock!

Aku mengangkat wajah dan satu ayat terluncur dari bibirku, "Subahanallah!"

Sekaligus gadis yang bertudung labuh berwarna ungu itu, tersipu malu. Dia tertunduk tanda menjaga pandangan.

"Maaf, ustaz jika Ana mengganggu..."

Keningku terangkat automatik, "Oh, tidak mengapa. Hmm... ada apa yang boleh saya bantu?" soalku padanya.

Dia tampak resah dan serba salah. Lantas kucuba menyingkap kegusaran hatinya dari riak wajah.

"Kamu bingung pasal kelas tadi?"

Dia mengangguk perlahan tanda mengakui. Aku dah agak asbabnya. Wajar sahaja dia menjadi kebingungan jika dirinya adalah siswi baru.

"Ana juga ingin bertanya lanjut, tetapi Ana malu," ujar si gadis itu lagi.

Sebentar! Nama dia memang Ana atau itu kata ganti nama aku sebagai ana? Entah mengapa biulku muncul pula di kala ini.

"Oh... err... nama kamu, Ana ke?"

Gadis itu mengangguk lagi. Sungguh ayu kulihat dia di waktu itu. Mujur sekali kedudukan kami masih di tempat yang terang dan dilihat oleh warga penuntut yang lain. Jika tidak, sudah pasti bau-bau fitnah membasahi diri kami.

Aku berusaha menenangkan diri. Namun belum sempat aku ingin berbicara, ada seseorang menyapa kami.

"Assalamualaikum, Nazir." Kelibat Dzham muncul di situ menjadi orang ketiga di antara kami.

Hatiku kembali tenteram.

"Wa'alaikumsalam," jawab kami serentak.

Dzham duduk di hadapan meja belajarku tadi. Ana pula menjaga jarak dengan duduk selang sebangku daripada kami. Aku menjadi hairan akan situasi itu.

"Ana dah tanya kawan abang ni, ke?" soal Dzham kepada Ana.

Gadis itu mengangguk, "Dah. Tapi nampaknya... Ana kena cari teman perempuanlah. Sebab takut timbulkan fitnah, nantinya."

"Ha, betul juga. Hmm... nanti, abang kenalkan Ana dengan kawan abang Syafini tu. Mungkin dia boleh jadi kawan Ana, lepas ni."

Perbualan Dzham dan gadis itu ingin kucelah. Tapi khuatir merubah suasana. Jadi aku cuma berdiam. Walaupun sanubariku meronta ingin mengetahui apakah hubungan kedua mereka.

"Aku hampir lupa. Nazir, kenalkan ini adik sepupu aku. Nama dia, Nur Ana Hawani," ucap classmateku yang seorang itu.

Ah, Dzham. Dia seakan dapat membaca akal fikiranku. Dan aku pula segera mengoyak senyum.

Kemudian, perbualan kami lebih kepada soal pembelajaran.



TIGA bulan berlalu ibarat menggulung hamparan tikar. Amat pantas sekali masa berputar. Hubunganku dengan Ana semakin akrab tapi berbatas. Tidak kusangka perkenalan kami di perpustakaan tempoh hari, pemula kepada silaturahim yang hakiki.

"Ana,"

"Ya?"

"Kita selalu panggil ini dengan nama apa?" soalku kepada Ana sambil memegang sebatang pen yang selalu digunakan di papan putih.

Gadis itu menjawab dengan penuh keyakinan, "Marker penlah."

Aku menggelang pantas, "Bukan."

Ana berkerut dahi, "Eh? Betullah."

"Tak. Ini marker..."

"Bukan sama je ke?"

"Tak. Marker is makanya kusayang kamu..."

Pipi Ana berona merah. Haih! Tak sangka gaya playboy aku dah kembali. Tapi kali ini, aku yakin bahawa ia bukanlah sekadar main-main.

Ana mengemaskan peralatan tulisnya dengan segera. Aku jadi kalut sudahnya.

"Ana, janganlah marah. Saya tak sengaja," ucapku untuk memujuk.

"Ana tak suka ustaz mainkan perasaan Ana!" Kaca mata tebal miliknya dibetulkan seketika, "Ana di sini pun cuma untuk berbagi ilmu bukan belajar bermain kata dengan lelaki yang bukan mahram Ana. Maafkan Ana. Ana pergi dulu," sambung Ana lagi seraya melangkah pergi.

Tidak lama kemudian, Ana bertembung dengan Dzham.

"Abang! Abang cakap dengan kawan abang tu supaya jaga adab sikit. Jangan tahu nak mainkan hati perempuan je," ujar Ana sebelum berlalu menyebabkan Dzham terpinga-pinga. Dia baru sahaja keluar dari tandas.

...

"Apa dah berlaku tadi, Nazir? Kenapa Ana marah sampai macam tu sekali?"

"Hmm... aku cuma nak bergurau dengan dia. Tapi tak sangka pula dia mengamuk. Aduh!"

"Kamu main pickupline lagi ke?"

"Ha'ah, Dzham. Tapi..."

"Tapi apa?"

"Err... tapi kalau diikutkan, sebenarnya aku tak main-main..."

"Ah, sudah! Kau cakap apa ni, Nazir? Kau jangan nak macam-macam. Ana tu, adik sepupu aku."

"Ya, aku tahu. Dan aku rasa, aku nak serius dengan dialah, Dzham. Em... apa pendapat kau?"

"Huhu... aku tak kisah. Malah, aku lagi bersyukur. Tak adalah timbul fitnah nantinya."

"Ya, Dzham. Wei! Kau teman aku jumpa abi dan ummi Ana, nanti. Aku nak lamar dia secepat mungkin."

"Alhamdulillah! Ha! InsyaAllah..."



SEJAK menjadi tunangan orang ni, aku selalu perasan akan perubahan Ana kepadaku. Dia seakan-akan nak mengelak daripada aku. Atau dia menerima lamaranku kerana terpaksa?

"Ha! Termenungkan apa tu? Fikir pasal Ana ke?" sapa Dzham dari arah belakang.

Tempat letak motosikal itu sepi kerana para pelajar sudah berlalu pulang. Cuma tinggal beberapa siswa sahaja yang kelihatan.

"Hmm... siapa lagi Dzham kalau bukan Ana?"

"Kau janganlah ikutkan sangat prasangka buruk kau tu. Aku tak nak hubungan korang hancur nanti. Kamu kena ingat, bertunang ni bukanlah tiket kamu nak buat sesuka hati. Ia cuma masa untuk kamu kenal-kenal je. Hurm... jangan risaukan pasal Ana. Yakinlah dengan Allah yang Ana sekarang ni, sedang berusaha untuk tidak menjerumuskan kamu berdua ke lembah maksiat," pesan Dzham kepadaku.

Aku mengukir senyum, beristigfar di dalam hati. Kan ada baiknya aku berfikiran yang positif. Justeru itu, aku perbanyakkan bersyukur sebab Ana reti menjaga diri, pergaulan dan perasaannya.

Ah! Beruntung sekali aku jika menikah dengannya.

...

"Ada apa dengan bulan?"

"Jangan nak merepek, boleh tak? Ana banyak kerja ni. Kenapa call?"

"Hailah, tunang. Garangnya dikau dengan bakal suamimu ini..."

"Eleh! Baru tunang jelah. Belum jadi suami lagi. Jadi Jangan harap Ana nak berlembut dengan ustaz."

"Hurm... masih nak panggil ustaz juga ke? Kita dah nak nikah dah pun. Takkan tak nak practice panggil Biy, Ayang atau abang ke?"

"Ustaz jangan mengada! Kita baru bertunanglah. Jangan minta yang bukan-bukan!"

"Haha... tak minta banyak. Em... cuma nak minta Ana jaga hati saya, selepas ni. Genggam erat ia supaya tak diusik oleh orang lain."

"Ana tak boleh janji. Ana takut melayan perasaan. Kalau kita memang berjodoh, InsyaAllah Ana akan cuba sedaya-upaya untuk menjaganya. Kalau masa sekarang, Ana tak jamin apa-apa. Maafkan Ana."

"Ana tahu apa beza lukisan di atas pasir dengan Ana?"

"Entah!"

"Bezanya... Ana boleh kekal di hati saya. Sedangkan lukisan pasir itu, tidak. Hehe..."

"Hmm... yelah. Ada apa lagi? Ana sibuklah..."

"Amboi, Ana. Nampak sangat dia tak sabar nak jadi isteri saya. Mesti sibuk siapkan hantaran kahwin kita, kan? Hahaha..."

"Eh, bukanlah. Ana ada hal. Assalamualaikum."

Tit! Talian dimatikan oleh orang di sana.

"Wa'alaikumsalam, bakal makmumku. Fi hifzillah," ucapku sendiri.

Aku tersenyum. Dengar Ana berkata kasar pun, terbayar juga rindu aku ni. 








"ABANG ada pantun untuk sayang," kataku pada isteri yang baru beberapa jam kunikahi.

"Apa dia, abang?" soal Ana kembali.

"Gadis manis bertudung ungu, 
Pakaiannya pula serba biru;
Kalau dulu i miss you,
Sekarang pula i love you."

Ana tertunduk tersipu malu. Kami berdiri di balkoni sambil menikmati taburan berlian di hamparan langit kelam itu.

"Abang nak tahu tak apa yang Ana gelarkan abang?"

"Eh! Mestilah nak. Apa dia, sayang?"

"Hihi. Ana gelarkan abang, Ustaz Sweetku." Ana menutup wajahnya. Malu.

Aku terhibur dengan telatah manjanya.

"Uhibbuki, sayangku Ana..."

"Uhibbuka, suamiku..."

Damai tenteram kurasa jiwaku tika ini. Uhibbukifillah.







Jendela Sapa

  Tikar merah telah kubentang, Daku ucapkan selamat datang. Hulur salam tanda perkenalan, Senyum ramah buat semua; Semoga ukhuwah kita berke...